~Islam Kita~


Assalamualaikum semua...
semoga antum semua berada dalam rahmat Allah Taala.....


Berdasarkan Himpunan Risalah Imam Hassan Al-Banna

Islam Kita

Saudara, dakwah kita merupakan dakwah yang menggabungkan seluruh elemen yang dinyatakan sebagai Islam. Perkataan Islam pula mempunyai makna yang sangat luas bukan sebagaimana yang difahami oleh manusia hari ini. Kita berkeyakinan Islam mempunyai suatu pengertian yang luas. Islam mengatur seluruh aspek hidup manusia. Islam memberikan jawapan kepada setiap perkara. Islam telah meletakkan suatu sistem yang kemas dan rapi bagi setiap aspek. Islam tidak pernah berpeluk tubuh dalam menghadapi pelbagai masalah semasa. Islam telah menggariskan sistem yang perlu bagi kepentingan manusia. Sesetengah pihak tersilap apabila memahami Islam ini hanya terbatas kepada beberapa aspek ibadat atau sudut kerohanian sahaja. Malah mereka menyempitkan fahaman dan diri mereka sendiri dalam ruang lingkup yang amat sempit ini.

Namun demikian kita tetap memahami Islam ini berbeza sama sekali dengan fahaman tersebut. Malah kita memahami Islam dalam erti kata yang amat luas. Islam mengatur seluruh aspek kehidupan dunia dan akhirat. Apa yang kita katakan ini bukan dakwaan atau rekaan kita sendiri. Sebaliknya hasil daripada apa yang kita fahami melalui kitab Allah dan sejarah hidup genarasi Islam yang pertama. Jika anda ingin memahami dengan lebih mendalam tentang fahaman ikhwan berhubung Islam, anda boleh membuka Mushaf Al-Quran. Jauhkan diri anda daripada nafsu dan niat lain kemudian cubalah fahami isi Al-Quran. Anda akan lihat itulah dakwah Ikhwan.

Benar, dakwah kita adalah Islam itu sendiri, merangkumi seluruh aspek yang terkandung dalam istilah Islam itu sendiri. Fahamilah kandungan Islam ini. Cuma fahaman anda ini mestilah berlandaskan Kitab Allah, sunnah Rasul, dan sejarah para salafussoleh. Kitab Allah merupakan asas dan landasan kepada Islam. Sunnah Rasul pula menjadi pentafsir kepada Kitab Allah. Sementara sejarah hidup salafussoleh yang menjadi pelaksana kepada segala perintah dan segala ajarannya merupakan contoh praktikal kepada segala perintah dan ajaran ini.


2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP