sahabat yang enggan masuk syurga

 Sahabat yang enggan masuk syurga


  • Dalam sebuah hadis menerangkan bahawa pada hari kiamat nanti Allah memerintahkan dua orang hamba hadir mengadapNya. Seorang adalah hamba yang taat kepada perintah Allah dan seorang lagi hamba yang derhaka kepada Allah. Kedua-duanya mati dalam keadaan beriman. Lalu Allah menyuruh malaikat Ridhwan membawa orang yang taat itu ke syurga dan memuliakannya dengan firman Allah, “Aku merelakan dia”. Kemudian Allah memerintahkan kepada malaikat Zabaniyah membawa yang seorang lagi ke neraka dan Allah memerintahkannya disiksa dengan siksaan yang amat pedih. 
  • Firman Allah, “Sesungguhnya orang ini adalah peminum arak”. Orang yang taat kepada Allah sangat gembira kerana dia telah dapat masuk ke syurga dengan rahmat Allah. Apabila orang itu hendak menjejakkan kakinya ke pintu syurga maka dia mendengar suara sahabatnya yang diheret ke neraka itu berkata, “Wahai sahabatku, wahai temanku, kasihanilah aku dan berikanlah aku pertolongan”. Apabila orang itu mendengar rayuan sahabatnya, maka dia tidak mahu masuk ke dalam syurga. 
  • Malaikat Ridhwan berkata kepadanya, “Masuklah ke syurga dengan rahmat Allah”. Orang itu berkata, “Aku tak mahu masuk ke syurga, bawalah aku ke neraka”. Malaikat Ridhwan menjawab, “Aku tak dapat membawa kamu ke neraka sebab Allah telah memerintahkan aku membawa kamu ke syurga dan melayani kamu”. Orang itu tetap berdegil dan berkata, “Aku tak mahu masuk ke syurga dan tak mahu juga layananmu”. Setelah itu kedengaran suara yang berkata, “Wahai Ridhwan, Aku maha mengetahui apa-apa yang ada di dalam hatinya, namun demikian tanyalah kepadanya sendiri dan kamu akan mengetahui sebabnya”. Lalu malaikat Ridhwan bertanya, “Kenapakah kamu tidak mahu masuk ke syurga dan mengapakah kamu ingin ke neraka”? Orang itu menjawab, “Aku tak mahu ke syurga sebab orang yang derhaka kepada Allah itu telah diputuskan masuk ke neraka. Dahulunya aku dan dia bersahabat baik di dunia dan dia telah meminta pertolongan dariku supaya selamatkannya dari api neraka. Oleh kerana aku tiada kuasa untuk berbuat demikian, maka aku fikir lebih baik aku juga masuk ke neraka supaya sama-sama disiksa di dalamnya”. Kemudian kedengaran seruan Allah yang maha memberi rahmat berfirman, “Wahai hambaKu, kamu dengan kelemahanmu tidak suka melihat sahabatmu itu masuk ke neraka kerana dia telah berkenalan denganmu di dunia hanya sebentar dan dia mengetahuimu dan menemanimu hanya beberapa hari saja. 
  • Maka bagaimanakah Aku merelakan kamu masuk ke neraka sedangkan kamu telah mengetahui Aku selama umurmu dan telah menjadikan Aku sebagai tuhanmu selama 70 tahun. Oleh itu pergilah kamu ke dalam syurga bersama sahabatmu itu dan Aku telah mengampuninya dan Aku serahkan dia kepada kamu”.

Maafkanlah...


Maafkanlah...


1. Maafkanlah supaya kita diampunkan.
"...dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." (an-nur:22)


2. Maafkanlah supaya Allah menjadi sayang.
"...dan jika kamu maafkan dan kamu santuni serta ampuni (mereka), maka sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."(at-Taghabun:14)


3. Maafkanlah supaya kita tidak sama dengan orang bodoh.
"Jadilah pemaaf dan suruhlah orang yang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang yang bodoh."(al-A'raf:199)


4. Maafkanlah kerana orang mulia sentiasa memaafkan.
"Tetapi barang siapa bersabar dan memaafkan, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia."(asy-Syura:43)


5. Maafkanlah agar kau termasuk di kalangan orang yang gagah menahan marah.
"...menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain."(Ali Imran:134)

Hikmah adalah barang yang hilang daripada orang mukmin


وعن أبي هريرة رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " الكلمة الحكمة ضالة الحكيم فحيث وجدها فهو أحق بها " .
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kalimah yang mempunyai hikmah adalah sesuatu yang hilang daripada orang yang bijaksana[1], di mana sahaja dia mendapatinya maka dialah yang lebih berhak dengannya”.[2]
Kalimah pada asalnya memberikan makna satu perkataan tetapi yang dimaksudkan di sini ialah ungkapan atau jumlah ayat yang lengkap. Maksud al-kalimah al-hikmah di sini ialah ungkapan atau kata-kata yang mempunyai nilai bahasa yang tinggi dan mengandungi makna yang sangat halus, tinggi dan mendalam maksudnya walaupun ringkas dan terbit daripada seorang hakim iaitu yang bijaksana.
Imam Malik berkata: “Al-hikmah adalah kefahaman mendalam di dalam agama”[3]. Allah taala berfirman:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Allah menganugerahkan al hikmah (kepahaman yang dalam tentang Al Qur'an dan As Sunah) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa yang dianugerahi al hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah).[4]
Maksud sesuatu yang hilang dari orang yang bijaksana dan di dalam riwayat yang lain dari orang yang beriman ialah sesuatu yang sentiasa dicari dan dituntut olehnya dan bila ia mendapatinya daripada sesiapa sekalipun maka dialah orang paling layak memperolehinya sama ada dengan maksud untuk mengikuti atau mengamalkannya. Orang yang bijaksana di sisi agama dan beriman sudah semestinya menilai al-kalimah al-hikmah yang terkandung di dalamnya kebenaran di sisi agama dan ia tetap menerima di mana sahaja atau daripada sesiapapun.
Setengah ulama mengatakan maksud di sini ialah kemampuan manusia untuk memahami sesuatu maksud daripada al-Quran dan hadith adalah berbeza. Kerana itu bagi orang yang tidak mampu untuk memahami maksud-maksud yang tersembunyi daripada sesuatu ayat atau hadith maka ia tidak boleh sama sekali untuk mengingkari orang yang mempunyai kemampuan untuk memahami dan membuat kesimpulan daripadanya. Ini adalah kerana orang yang diberikan rezeki oleh Allah untuk memahaminya adalah merupakan seorang yang bijaksana yang telah memperolehi al-kalimah al-hikmah yang kehilangan daripadanya sebelum ini.
Maksud yang lain ialah kadang-kadang al-kalimah al-hikmah diungkapkan oleh seorang yang tidak mempunyai kelayakan dengannya dan bila ia diperolehi oleh orang yang layak dengannya iaitu al-hakim maka dialah yang lebih layak dengannya daripada orang yang memperkatakannya tanpa memandang kepada rendah atau tinggi kedudukan orang yang memperkatakannya.
Hadith ini juga menunjukkan bahawa seorang alim itu tidak harus menghalang orang lain dari mendapatkan ilmunya bila ia fikir orang itu berkelayakan untuk memahaminya dan begitu juga sebaliknya tidak harus ia memberikan sesuatu ilmu kepada orang yang tidak berkelayakan kerana ilmu itu bukanlah merupakan sesuatu yang hilang daripadanya.
Di antara pengajaran daripada hadith ini ialah seseorang hakim atau ahli ilmu sepatutnya sentiasa mencari-cari dan mendalami al-Quran dan hadith yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. seperti seseorang mencari barangnya yang hilang. Pengajaran yang lain ialah kebenaran mestilah diterima tanpa mengira daripada siapa ia datang dan bukan kerana melihat kepada orang yang menyampaikannya. Benar sekali apa yang diungkapkan oleh bijak pandai yang berbunyi:

“Kenalilah seseorang itu kerana kebenaran (yang dibawanya) bukan mengenali kebenaran kerana seseorang (iaitu menerima sesuatu sebagai kebenaran berdasarkan orang yang mengatakannya bukan berdasarkan kepada sesuatu dalil) dan kenalilah kebenaran nescaya engkau akan mengenali ahlinya.[5]



[1] Lafaz hakim yang terdapat di dalam riwayat yang dikemukakan oleh pengarang Misykat al-Masabih ini tidak terdapat di dalam mana-mana kitab hadith utama. Sebaliknya di dalam Sunan Ibnu Majah dan Jami’ at-Termizi lafaz mukmin digunakan di tempat lafaz hakim. Makna bagi matan hadith yang terdapat di dalam dua kitab tersebut adalah “Kalimah yang mempunyai hikmah adalah barang yang hilang daripada orang mukmin”.
[2] Sunan Ibnu Majah Bab Hikmah, Sunan at-Termizi Bab Hadith Yang Datang Berkenaan Kelebihan Kefahaman Mendalam Daripada Ibadat. Imam at-Termizi berkata: “Ini adalah hadith ghorib, kami tidak mengetahuinya kecuali melalui jalan ini. Ibrahim bin al-Fadhl adalah seorang yang dho’if dari segi hafalannya.
[3] Tuhfah al-Ahwazi Juz 7 hal. 381
[4] Al-Quran Surah al-Baqarah ayat 269
[5] Di dalam sesetengah kitab kata-kata ini dinisbahkan kepada Sayyidina Ali r.a. dengan sedikit perbezaan antara satu sama lain. Penulis tidak menemui rujukan yang boleh dipertanggungjawabkan untuk dinisbahkan kepada beliau.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP