10 Malam Terakhir Ramadhan



Amalan 10 Malam Terakhir Ramadhan

Antara amalan Nabi SAW apabila mendekati 10 malam terakhir Ramadan adalah:
1. Melakukan qiamullail;
2. Menggerakkan keluarga untuk solat malam pada malam itu;
3. Tidak mendatangi isteri (daripada melakukan jimak);
4. Mandi antara Maghrib dan Isyak;
5. Iktikaf dalam masjid.
Aisyah meriwayatkan bahawa Nabi SAW tidak sentiasa melakukan
ibadat pada 10 yang terakhir Ramadan dengan cara yang tidak pernah 
dilakukan pada waktu selainnya. (Riwayat Muslim)
Dalam hadis ini nabi memberikan penumpuan khusus kepada
malam terakhir Ramadan untuk merebut peluang mendapat lailatul
qadar yang disifatkan Allah dalam ayat ke-3 surah al-Qadar sebagai:
 “Lailatulqadar lebih baik daripada 1,000 bulan.”
Demikian pula dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim,
maksudnya: “Sesiapa mengerjakan ibadah pada lailatulqadar kerana
imannya kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya,
diampunkan dosanya yang lalu”.
Diriwayatkan al-Tabarani daripada Ali bahawa Nabi SAW mengejutkan
keluarganya pada 10 hari terakhir di kalangan yang kecil dan besar dan
yang dewasa yang mampu melakukan solat.
Dalam sesetengah riwayat apa yang sangat dituntut ke
atas Muslim ialah menggerakkan keluarga pada malam ganjil
seperti 21, 23, 25, 27 dan 29 kerana mengharapkan lailatulqadar.
Pada malam pilihan seperti ini, Nabi SAW menurut riwayat Anas dan Aisyah,
menjauhi hubungan suami isteri untuk berada di masjid bertujuan melakukan
 iktikaf sama ada mendirikan solat sunat, beristighfar dan sebagainya.
Persiapan Nabi SAW untuk menghadapi iktikaf juga harus kita contohi.
Ibn Abi Ashim meriwayatkan daripada Abu Huzaifah Nabi SAW pernah
mandi sebelum beriktikaf dengan dilindungi Abu Huzaifah. Kemudian
Abu Huzaifah mandi dan Baginda menjadi dindingnya. Inilah sebabnya
sahabat gemar mandi setiap malam antara Maghrib dan Isyak sebelum
 ke masjid untuk iktikaf.
Ulama Islam berbeza pandangan mengenai pelaksanaan qiamullail
antara menghidupkan keseluruhan malam ataupun sebahagiannya saja.
Abu Jakfar Muhammad Ali mengatakan Rasulullah menghidupkan
sebahagian daripada malam, bukan sepanjang malam. 
Demikian juga Imam al-Syafi’iy dan amal ahli Madinah 
menyokong pendapat itu.
Ini berpandukan hadis riwayat Aisyah Nabi tidak pernah solat malam
hingga ke Subuh tanpa berehat. Sesetengah ulama meringankan
persoalan qiam sehingga mengatakan seseorang dianggap melakukan
qiamullail disebabkan kesungguhannya bersolat jemaah Isyak dan Subuh.
Ini berdasarkan riwayat dalam al-Muwatthak daripada Ibn Musayyib yang
berkata, maksudnya: “Sesiapa yang menghadiri solat Isyak dengan
berjemaah, sesungguhnya dia memperoleh bahagiannya daripada malam itu.”
Dalam riwayat daripada Imam al-Syafi’iy menyatakan:
“Sesiapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah, dia mengambil
bahagiannya daripada bulan itu.” Ibn Abi Dunya daripada Abu Jakfar
Muhammad Ali meriwayatkan Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa yang datang kepadanya Ramadan, lalu dia berpuasa
siangnya, solat Tarawih pada malamnya, menahan matanya daripada
melihat perkara haram, menjaga kemaluannya, lidah dan tangannya 
dan sentiasa berusaha untuk solat berjemaah dan Jumaat,
maka dia sudah memperoleh lailatulqadar dan pahala Allah SWT
yang tidak ternilai harganya.”
Ringkasnya sekurang-kurang usaha membangunkan malam 
ataupun qiamullail untuk mendapat kelebihan lailatulqadar 
ialah melakukan solat Isyak dan subuh berjemaah bagi lelaki.
Bagi wanita khasnya yang uzur kerana haid dan nifas,
masih mampu memperoleh lailatulqadar dengan melakukan
ketaatan seperti beristighfar, berzikir, berselawat,
mempertingkatkan sedekah dan mengamalkan doa yang dianjurkan
Nabi kepada Aisyah iaitu: “Ya Allah sesungguhnya Engkau adalah
Tuhan yang maha pengampun, Engkau gemar memberikan keampunan,
maka ampunkan aku.”
Dalam tafsir Hasyiah al-Sawiy ‘alal Jalalain, al-Sawi berkata,
 doa paling penting yang dituntut ke atas kita mengamalkannya
adalah memohon keampunan dan keafiatan seperti disarankan Nabi SAW.
Dalam zikir, kita mengucapkan: “Tiada Tuhan melainkan Allah yang
sangat besar kemurahan-Nya, lagi sangat pemurah.
Maha suci Allah SWT, yang memiliki tujuh petala langit dan
Tuhan yang memiliki Arasy yang maha agung (tiga kali), maka
sesungguhnya dia sudah mendapatkan lailatul qadar.”
Selain itu, sebagai tambahan bagi lelaki dan perempuan yang
inginkan lailatulqadar terdapat amaran tegas daripada
Nabi SAW seperti riwayat Ibn Abbas bermaksud: “Sesungguhnya
Allah akan memerhatikan orang beriman daripada
kalangan umat Nabi Muhammad, lalu dimaafkan bagi
mereka dan dirahmati melainkan empat golongan
iaitu peminum arak, penderhaka ibu bapa, orang selalu bertengkar dan
orang memutuskan silaturahim.”

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP