perkongsian ustaz nik mohd abduh


Terima kasih atas kesudian rakan-rakan yang memberi pandangan terhadap persoalan yang saya kemukakan; Antara kekuatan hujjah dan ketinggian akhlak, mana satu lebih bermanfaat?

Saya cuba satu-persatu meneliti pilihan dan pandangan yang diberikan. Cukup bermanfaat.

Sebenarnya, saya memindahkan soalan itu dari tafsiran ayat al Quran via tweet seorang ulama negara arab yang cuba menarik perhatian followers nya. Saya sendiri terpikat dengan persoalan ini. Bukan hanya menimbang jawaban, bahkan mengukur tahap dan upaya sebenar dalaman diri dalam usaha dakwah ilaLlah.

Ia antara kepetahan berhujah dan kelestarian akhlak yang mulia.

Untuk turut mencambahkan pandangan, suka saya berkongsi pandangan berikut;

1) Hujjah bertujuan membenam kejahilan yang merajai manusia yang alpa. Allah memiliki hujjah yang paling kuat dan dikurniainya kepada rasulNya. Maka Rasulullah adalah pemilik hujjah al haq yang sungguh perkasa yang segera mematikan kejahiliyahan Arab dan manusia seluruhnya.

2) Tetapi daripada 'kejahilan' yang tumbang di hadapan hujjah, syaitan menghidupkan watak manusiawi yang lebih dahsyat, iaitu kedegilan. Dengan sifat degil, hujjah terpaku dan dimendapkan, lalu ia tetap gagal memindahkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya.

3) Allah terus membekalkan senjata yang lebih ampuh kepada para nabi dan hambaNya, iaitu akhlak yang tinggi. Di hadapan akhlak yang mulia, kedegilan yang tidak rebah di hadapan hujjah akhirnya mengaku kalah, lalu tunduk menerima iman dan kebenaran akibat terpaku dengan keindahan akhlak para hambaNya.

Itulah yang berlaku acap di dalam sirah al rasul dan para sahabat selepasnya.

Adakah anda telah melihat dua kekuatan yang hebat itu? Mana satu lebih berbisa?

Dan adakah anda boleh ingat satu ayat di dalam al Quran yang memuji kelembutan akhlak nabi yang berjaya memikat manusia di sekelilingnya dan jika nabi bersikap keras, pasti manusia akan lari?! Walaupun berbekal hujjah yang kuat??

Adakah anda ingat ayat itu?

Ya, Itulah ayat yang ditafsirkan ulama yang saya maksudkan di atas bagi menegaskan bahawa ketinggian akhlak adalah lebih bermanfaat daripada hujjah yang kuat.

Ada indahnya pada jawabannya itu bukan?

Justeru berhujahlah, kritiklah Kelantan (senyum) atau mana-mana atau siapa-siapa atau apa-apa pun. Dan bayangkan, jika kritikan anda itu tersulam bahasa yang penuh berakhlak mulia..

Alangkah mulianya makhluk bernama 'akhlak' daripada Allah yang maha mencipta.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP