Syeikh Mutawalli Sya'rawi Rahimahullah
Kisah Yang
Sangat Mengagumkan Berkenaan Syeikh Mutawalli Sya'rawi Rahimahullah
Pada masa dahulu,
suatu muktamar Islami yang menghimpunkan para ulama' muslimin telah dijalankan
dalam tempoh selama seminggu. Syeikh Sya'rawi adalah di antara tokoh ulama'
Mesir yang dijemput untuk meghadiri muktamar tersebut.
Pada hari pertama
muktamar, Syeikh Sya'rawi telah melihat pada diri pengerusi muktamar tersebut yang juga merupakan seorang ulama' suatu perubahan
besar dari segi keilmuannya dan makrifah yang tidak ada pada masa-masa
sebelumnya. Lalu, syeikh bangun menuju ke podium dan berkata, "Aku akan
mengajukan suatu soalan kepada kamu dan aku inginkan jawapannya. Soalannya
ialah : Ke manakah perginya air mandian jasad Rasulullah SAW?". Iaitu yang
dimaksudkan beliau ialah air yang digunakan ketika dimandikan jenazah Baginda
SAW.
Akan tetapi apabila soalan itu diajukan, tidak ada
sesiapa yang menjawabnya. Semua orang senyap dan berdiam diri kerana tidak tahu
akan jawapannya. Pengerusi muktamar itu juga merasa sangat terkejut dengan
soalan tersebut dan mengatakan dalam dirinya, "Bagaimana aku tidak
mengetahui akan jawapan soalan ini?". Lalu beliau mengambil jalan keluar
daripada persoalan ini dengan mengatakan, "Berikan kami peluang masa, kami
akan jawab soalan kamu pada pertemuan esok insyaAllah".
Maka beliau pun pulang ke rumahnya dan tidak melakukan
apa-apa selain daripada terus memasuki perpustakaan khasnya untuk mencari,
meneliti dan membelek kitab-kitab bagi mencari jawapan kepada persoalan itu.
Beliau telah menghabiskan masa yang lama dalam pencariannya, hingga diselubungi
keletihan dan akhirnya terlelap tidur di atas kitab yang dibacanya.
Ketikamana ulama' itu tidur, Rasulullah SAW telah
datang bertemunya dalam mimpi dan bersama baginda seorang lelaki yang memegang
sebuah lampu pelita. Maka dengan segera beliau menuju kepada Rasulullah SAW dan
bertanya, "Ya Rasulullah, ke manakah perginya air mandian jasadmu?".
Lalu Baginda SAW mengisyaratkan kepada lelaki pemegang lampu pelita yang berada
di sisinya (supaya menjawab soalan itu). Kemudian lelaki itu pun menjawab,
"Air mandian Rasulullah SAW menyejat naik ke langit dan kemudian turun ke
bumi dalam bentuk hujan. Setiap titisannya yang jatuh ke bumi, dibina di tempat
itu masjid".
Maka, terjagalah beliau daripada tidurnya dalam
keadaan yang sangat gembira kerana telah mengetahui jawapan kepada persoalan
tersebut.
Keesokkan harinya, pengerusi muktamar itu hadir
untuk hari kedua dan menunggu persoalan yang telah dilontarkan oleh Syeikh
Sya'rawi untuk diutarakan semula. Akan tetapi syeikh tidak bertanya. Di hujung
muktamar pada hari kedua, akhirnya beliau bangun dan berkata kepada syeikh
Sya'rawi, "Kelmarin kamu telah bertanyakan satu soalan. Adakah kamu ingin
mengetahui jawapannya?".
Syeikh berkata : "Adakah kamu mengetahui
jawapannya?".
Beliau menjawab : "Ya".
Syeikh bertanya : "Maka ke manakah perginya
air mandian Rasulullah SAW?".
Beliau menjawab : "Air mandian Rasulullah SAW
menyejat naik ke langit dan kemudian turun ke bumi dalam bentuk hujan. Setiap
titisannya yang jatuh ke bumi, dibina di tempat itu masjid".
Syeikh bertanya lagi : "Bagaimana kamu
mengetahuinya?".
Beliau menjawab : "Rasulullah SAW telah datang
kepadaku dalam mimpi (memberitahukan jawapannya)".
Syeikh berkata : "Bahkan seorang lelaki yang
memegang lampu pelita yang menjawab kepada kamu".
Maka ulama' itu terus merasa terperanjat dan
terpegun, lalu bertanya, "Bagaimana kamu mengetahui perkara itu?".
Lalu Syeikh Sya'rawi menjawab bahawa beliaulah
lelaki yang memegang lampu pelita yang berada di sisi Rasulullah SAW dalam
mimpi ulama' itu.
Peristiwa ini telah memberikan kesan yang cukup
mendalam kepada para hadirin dalam muktamar tersebut dan memeranjatkan semua
orang. Hal ini menunjukkan kedudukan maqam yang tinggi beliau di sisi Allah
Taala dan RasulNya.
~kisah ini diceritakan sendiri oleh ulama' yang
menjadi pengerusi muktamar itu.