
Apa itu ISTIDRAJ???
Kita tahu bahawa
ilmu itu cahaya, dan tidak akan memasuki hati-hati yang gelap, tetapi kita
lihat, kawan kita yang berjudi, yang minum arak, boleh berjaya pula, sedangkan
kita terkial-kial walaupun sudah berusaha. Kita tahu bahawa, siapa yang berbuat
baik, taat kepada ALLAH akan dipermudahkan jalan kehidupannya, tetapi kita
lihat, kawan kita ini tidak solat, tetapi bisnesnya menjadi, kita pula hidup
dengan penuh cabaran dan duga. Kita juga tahu bahawa, ISLAM ini agama yang
benar, tetapi kita sering melihat orang-orang yang bukan ISLAM itu lebih
berjaya, dan ummat ISLAM tertindas dalam kehidupan sempit lagi derita.
Orang bertanya
kepada saya. Kenapa begitu? Sekarang ini, yang manakah benar? Adakah kita faham
selama ini tidak benar?
Maka saya hendak
bertanya kepada anda.
Adakah anda tahu
apa itu istidraj?
Istidraj ini adalah
satu kalimah, yang sering menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang terus
dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun
dia bukan hamba ALLAH yang taat, malah seorang pembuat maksiat yang tegar.
Kenapa mereka ini dinamakan manusia yang mendapat istidraj? Apakakah maksud
istidraj?
Istidraj adalah,
apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah ruah
untuk manusia itu menjadi lebih jauh dariNya.
Biasanya, manusia
yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan ISLAM
dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT.
Contoh manusia yang
mendapat istidraj ini banyak. Kita lihat contoh yang mudah. Qarun. Apakah anda
kenal kepada Qarun? Dia ini adalah seorang manusiayang teramat kaya.
Diriwayatkan bahawa, kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung
perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Hal ini
hendak menyatakan betapa kayanya dia.
Kisah Qarun
terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya
menjadi. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah,
sedang yang bertambah semalam tidak pula luak digunakan.
Tetapi bila Nabi
Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada
ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab,
“ Tidak, semua ini
adalah hasil dari ilmuku”
Lihat. Lihat apa
kata Qarun. Tidak, semua ini adalah hasil dari… ILMUKU. Dia nyata semakin jauh
dari ALLAH, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan
sebagainya. Dia saban waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang
terdiri dari orang miskin dan hamba.
Apakah pengakhiran
Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya.
Kisah ini terdapat di dalam Al-Quran.
Nah… Apakah itu
yang kita mahu?
Sebab itulah, saya
hendak mengajak saudara-saudari berfikir, apakah yang akan timbul di dalam hati
kalian apabila kalian ini jenis yang melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat,
kemudian kalian berjaya di dalam peperiksaan atau perniagaan. Apakah yang
agaknya akan timbul dalam jiwa kalian?
Saya yakin, 99%
akan merasa begini, “ Tengok, aku tak solat pun berjaya. Siapa kata solat tu
bawa kejayaan?”
Apakah yang akan terjadi
kepada anda ketika itu? Anda berjaya, tetapi anda semakin jauh dari ALLAH.
Itulah istidraj.
Maka jangan gusar
bila tidak berjaya. Cuba lagi. Hubungan keimanan anda dengan ALLAH itulah yang
pertama sekali perlu anda perhatikan. Jika anda berjaya membina hubungan
keimanan yang baik, insyaALLAH, datanglah badai apa sekalipun, anda akan mampu
melaluinya.
Sebenarnya ALLAH
suka menguji hamba-hambaNya yang beriman. Terdapat satu kisah yang saya suka
baca ketika saya masih kecil.
Terdapat dua orang
nelayan. Seorang penyembah berhala, dan seorang lagi muslim yang taat kepada
ALLAH. Ketika menebar jala, yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya,
manakala yang muslim membaca bismillah. Bila jala diangkat, yang menyembah
berhala mendapat banyak ikan, manakala yang muslim, hampir sahaja tiada ikan
untuknya pada hari itu.
Malaikat yang
melihat keadaan itu bertanya kepada ALLAH.
“ Ya ALLAH, apakah
yang telah berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki yang
banyak, sedangkan hambaMu yang menyebut namaMu, KAU tidak memberikan DIA
apa-apa”
ALLAH menjawab,
“ Yang
menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti NERAKA. Maka apalah sangat rezeki
yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadaNya? Tetapi HambaKu yang
beriman itu, AKU hendak mengganjarkanNya syurga, maka AKU suka mengujinya untuk
melihat kebenaran imanNya”
Nah, jangan anda
kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walau sudah studi, gagal
dalam perniagaan walau kemas menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian
dari ujian ALLAH. ALLAH menguji hanya untuk mereka yang dikasihi. Bukankah
ALLAH SWT ada berfirman,
“ Apakah kamu
mengira KAMI akan membiarkan kamu berkata kami beriman sedangkan kamu belum
diuji?…”
Jika gagal terhadap
satu-satu perkara, itu perkara itu. Anda masih belum gagal dalam kehidupan.
Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada. InsyaALLAH ALLAH akan memberikan
sesuatu yang bermakna kepada anda. Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita.
Maka sebenarnya,
bila hidup kita digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa bersyukur.
Tandanya, ALLAH masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang
dan perhatianNya kepada kita.
Mustahil anda suka
senang sebentar di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana. Anda
mahukan istidraj?
Saya yakin tidak..
Anda tenang
sekarang?
Anda wajib untuk
tidak berasa tenang jika anda berbuat dosa, dan anda berjaya. Sebab itulah,
muhasabah diri itu penting. Untuk kita sentiasa periksa bagaimanakah hubungan
kita dengan ALLAH SWT.
Aku berdosa, tetapi
aku berjaya…. Berhati-hatilah kita agar jangan sampai lafaz itu, atau
lafaz-lafaz yang membawa maksud serupa itu terkeluar dari mulut kita.
Mari kita sama-sama
duduk, dan bermuhasabah semula.